27 Jan 2013

I Love You, Abang! 4


              Danial menaiki tangga sambil tangannya mengusap pipinya yang masih pijar. Kata-kata Tan Sri Ayman masih terngiang-ngiang di fikirannya. Perlahan-lahan tombol pintu dipulas sebelum dia memboloskan dirinya ke dalam bilik tidur. Kakinya menapak ke kamar mandi.
                ‘Petang tadi aku kena marah dengan perempuan gila tu. Tadi aku kena marah dengan papa. Agaknya hari ini, hari malang aku kut,’ gumamnya dalam hati seraya membuka pintu bilik air.
                Beberapa minit kemudian, Danial keluar dari bilik air tersebut. Dia membaringkan badannya di atas katil. “Padan muka dengan kau!” Danial berkata sendirian lalu menekup mukanya dengan tangan.
Telefon bimbitnya yang berbunyi mengganggu sedikit ketenangan yang baru dirasainya. Pantas tangannya menekan punat hijau.
                “Hello, ni Danial Irfan Tan Sri Ayman ke?” tanya orang yang berada di hujung talian.
                “Ya. Siapa ni?”
“ Dani, ni akulah. Tak akan kau tak kenal suara aku ni?” ujar pemanggil yang tidak ketahui namanya.
Suara itu diamati sekejap. Wajahnya berubah ceria. Dia kenal dengan suara itu!
“Ni Irham Muhaimien kan?” jawab Danial teruja.
                “Yup. How are you? Sekarang kau kerja dekat mana?” tanya Irham. Irham Muhaimien merupakan kawan karibnya sejak kecil.
                “Aku sihat walafiat. Kau sihat? Aku sekarang ni masih jadi penganggur terbilang lagi. Kau sekarang dekat mana tu? Malaysia ke?” tanya Danial bertanya khabar.
 “Aku macam biasa ler. Kau ni, belajar sampai luar negara tak kan masih jadi penganggur kut. Aku sekarang dekat Malaysia dan bekerja di syarikat bapak aku. Aku tak ‘rajin’ macam orang tu.” jawab Irham sambil menyindir Danial.
                “Hahahaha... Sindir aku ke? Insya-Allah dalam masa terdekat ni, aku kerja dengan ayah aku.” jawab Danial. Tiba-tiba dia teringat akan pertengkaran antara dia dan papanya sebentar tadi. Lantas dia segera mengusap pipinya yang masih merah.
                “Okey lah, aku nak tidur. Kalau ada masa kau call aku. Kita pergi lepak dekat kedai mamak. Amacam, okey?”
                “Aku set je. Assalamualaikum.” Balas Irham diiringi salam menyudahkan perbualan mereka pagi itu.
                “Waalaikumussalam.”
                Danial menapak ke arah meja kerja. Laci ketiga dibuka seraya mengeluarkan sebuah kalendar meja. Marker pen dicapai lalu dia melangkah ke arah katil. Dia melabuhkan punggung di katil.
                Angka enam dibulatkan pada kalendar menandakan kejadian dia ditampar dan ditengking oleh seorang gadis. Memang memalukan sungguh. Tercalar egonya!
                Matanya menatap kalendar tersebut sebelum keluhan kecil terlahir di bibirnya.
‘Esok, aku akan mintak maaf dengan papa,’ tekad Danial dalam hati.

 DANIAL keluar dari bilik tidurnya lantas menuruni tangga. Di ruang makan, dia terdengar suara papa dan mamanya yang sedang leka berbual. Pantas dia pergi ke meja makan, lalu menarik kerusi bertentangan dengan Puan Sri Airina.
                “Pa...” Danial cuba bersuara.
                “Hmm, apa?” tanya Tan Sri Ayman dingin.
                “Dani, mintak maaf. Dani janji, Dani tak akan bersikap biadap pada mama dan papa atau orang yang lagi tua dari Dani. Maafkan, Dani ya pa?”
                “Tengoklah.” ujar Tan Sri Ayman seraya bangun menuju ke ruang tamu. Danial berasa hampa kerana Tan Sri Ayman masih marah akan perbuatannya yang melampau. Danial memandang ke arah mamanya yang masih berdiam diri sejak dia turut serta untuk sarapan.
                “ Mama....”
                  “Mama tak nak masuk campur. Itu urusan kamu dengan papa dan mama tidak ada kena mengena dengan semua ini... Kenapa semalam kamu balik lambat? Kamu ingat mama tak dengar apa yang kamu katakan pada papa semalam. Mama tak sangka anak yang mama dan papa didik dan manjakan akan buat kami begini. Kami tak pernah ajar kamu untuk bersikap kurang ajar.” Balas Puan Sri Airina. Wajahnya yang sedih menunjukkan riak kecewa.
Dia bangun lalu menuju ke arah suaminya untuk turut serta bersama dengan suami tercinta. Malas mahu melayan anak terunanya yang satu ni.
‘Hari ni mintak maaf, esok buat lagi.’ Bisiknya dalam hati. Matanya sempat menangkap wajah anaknya yang muram.
‘Aku nak ajar dia supaya lebih hormatkan orang tua,’ bisiknya lagi bersama dengan keluhan kecil.
               Danial meneruskan suapannya. Nasi goreng yang dimakannya itu dirasakan seperti batu yang sukar untuk ditelan. Bicara dan raut wajah mamanya yang kecewa, mengganggu fikirannya saat itu.
                ‘Aku tak nak kecewakan papa dan mama lagi... Aku sayangkan mereka,’ tekadnya dalam hati.
                Pantas dia menghabiskan nasi gorengnya yang masih berbaki sedikit itu. Air minuman diteguk sebelum dia melangkah menuju ke arah mama dan papanya.
                Matanya sempat menangkap lirikan mata mama dan papanya tetapi dia hanya buat tidak tahu. Dia harus meminta maaf pada orang tuanya itu.
                Danial melutut di hadapan orang tuanya yang leka berbual. Sengaja mereka tidak mengendahkan anak mereka itu kerana ingin melihat, cara Danial meluahkan kata-kata memohon maaf.
                Keluhan kecil terlepas di mulut Danial.
“Pa, Dani mintak maaf sangat-sangat...” Danial memulakan kata-katanya dengan suara lembut.
Tan Sri Ayman masih berdiam diri. Wajah isterinya dikerling sekilas sambil keningnya dijongket-jongketkan.
Danial menarik nafas dalam-dalam seraya menghembuskannya perlahan.  
“Dani janji, Dani akan buat apa saja yang papa suruh Dani buat. I’m promise.” Danial berjanji sambil tangannya diangkat separas bahu persis orang bersumpah.
                “Kamu berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini?” suara Tan Sri Ayman sudah tidak sedingin tadi.
                “Ya...” pendek sahaja balasan Danial menjawab pertanyaan papanya.
                “Okey...” Tan Sri Ayman segera bangun dari sofa. Surat khabar yang berada di tangan di letakkan di atas meja.
                “Danial, pergi bersiap. Kita pergi pejabat... Kamu kena kerja sekarang ni...” arahan dari papanya menyentakkan Danial. Wajah papanya direnung seketika. Tidak percaya akan pelawaan papanya.
                ‘Baru semalam aku berura-ura nak kerja, tup-tup tercapai hajat?’ fikirnya pelik sambil kakinya tetap mendaki tangga menuju ke bilik tidur untuk bersiap.


PERLAHAN-LAHAN kakinya melangkah keluar dari perut kereta. Bangunan dua puluh lima tingkat itu dipandang hairan. Seingatnya, dia tidak pernah melihat bangunan ini sepanjang dia menjejakkan kembali kakinya di sini.
                “Papa...” Danial memandang ke arah papanya.
                Tan Sri Ayman memandang ke arah anaknya dengan pandangan pelik. Jakun pula melihat anaknya yang asyik mendongak memandang bangunan itu.
                “Kenapa?”
                “Seingat Danial, sepanjang Danial jejakkan kaki ke Malaysia ni, tak pernah pun Danial nampak bangunan ni?” soalnya bersama kerutan di dahi.
Cermin mata hitamnya ditanggalkan sekilas.
                “Macam mana kamu nak nampak bangunan ni, kalau kamu asyik ulang alik dari kelab ke rumah... Tak pun, mall.” Suara sinis Tan Sri Ayman menyentakkannya. Dalam hati dia turut mengiakan kebenaran di sebalik kata-kata papanya itu.
                Kakinya melangkah mengikut arah tujuan papanya. Beberapa pekerja yang kebetulan bertembung dengan papanya, sempat menegur papanya sambil mata mereka memandang ke arahnya dengan tanda hairan.
                Tan Sri Ayman menekan punat lif setelah Danial masuk ke dalam. Matanya memerhatikan anaknya yang segak berpakaian koperat.
                ‘Anak aku ni memang kacak... Turun-temurun dari akulah barangkali,’ getusnya dalam hati.
Ting!
                Tan Sri Ayman melangkah keluar diikuti oleh Danial di belakangnya. Pintu yang tertera nama papanya direnung sekilas sebelum dia menapak masuk ke dalam pejabat itu.
                Tanpa disuruh, Danial melabuhkan duduknya di kerusi berhadapan dengan papanya. Tan Sri Ayman hanya menggelengkan kepalanya melihat kelakuan anaknya itu.
                “Siapa suruh kamu duduk, Dani?” dilontarkan soalan bersama dengan pandangan sinis kepada anaknya. Danial pantas bangun lalu dibetulkan kembali posisi kerusi tersebut kepada yang asal. Sengihan lebar diukir di bibirnya tanda bersalah.
                Tan Sri Ayman menunjukkan muka serius kepada anaknya. Beberapa dokumen syarikat dibelek dengan wajah yang cukup serius.
                Suasana senyap seketika.
                Danial memandang sekeliling sambil matanya menjelajah memandang terperinci setiap sudut ruangan kerja papanya itu.
                “Hah? Duduklah...” suara papanya memecah kesunyian. Danial tersentak. Pantas dia melabuhkan duduknya di kerusi tadi. Wajah papanya ditilik mengharapkan sesuatu.
                “Kamu kerja sebagai pengurus dahulu. Papa nak kamu belajar selok-belok mengenai perniagaan... Papa tak nak kamu terburu-buru semata-mata kamu anak pemilik syarikat.” Pantas tangannya menekan interkom menyuruh setiausahanya masuk.
                Ketukan di pintu dan arahan papanya yang menyuruh setiausahanya masuk sedikit mendebarkan hatinya. Gemuruh!
                ‘Apasal aku gemuruh semacam ni. Alahai, biasalah tu budak baru belajar nak kerjalah katakan?’ fikirnya dalam hati seraya matanya menyorot memandang setiausaha papanya itu.
                “Ya, Tan Sri? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”
                “Kamu tunjukkan bilik pengurus pada anak saya ni, boleh?”                    
                “Baiklah, Tan Sri. Ada apa-apa lagi?”
                Pertanyaaan tersebut hanya dibalas dengan gelengan.
                “Encik, sila ikut saya...” pinta wanita itu yang kelihatan anggun berbaju kurung.
                ‘Mungkin berumur 39 tahun,’ getusnya dalam hati seraya membuntuti langkah wanita yang berbadan gempal itu.
               

“NI bilik encik. Kalau encik nak apa-apa, encik boleh panggil Nani.” Ujar wanita yang memperkenalkan dirinya itu Kak Liza. Sedikit sebanyak rasa gemuruh di hati Danial, semakin berkurang. Syukur kerana wanita di hadapannya itu menolong dia saat itu.
                “Kak Liza, siapa Nani?” tanyanya pelik bersama kerutan di dahi.
                Kak Liza hanya tersenyum kecil. Wajah anak kepada bosnya itu, sedikit mencuit hatinya kala ini.
                “Setiausaha enciklah... Siapa lagi?” Wanita itu mengulum senyuman sambil matanya memandang ke arah Danial.
                “Ooh...”
                “Baiklah, saya pergi dululah ye Encik Danial?”
                “Kak...”
                Pantas Kak Liza menoleh.
                “Akak, panggil saya Dani aje boleh tak? Saya tak selesalah akak panggil macam tu. Nampak sangat saya ni lagi tua dari akak...” Danial bersuara sedikit bergurau
"Baiklah enc.... Eh, Dani...”
‘Budak ni memang kacak... Ikut Tan Srilah agaknya? Tan Sri tu walaupun dah tua-tua, tapi masih ada rupa kacak dia tu. Poket pun ‘kacak’...’ getusnya dalam hati.
                Danial tersenyum mesra. Kelibat Kak Liza sudah tidak kelihatan setelah wanita itu meminta diri.


MATANYA melirik memandang ke arah jam tangan di pergelengan tangan. Sudah menunjukkan angka satu menandakan waktu rehat bermula. Pintu pejabat dibuka perlahan. Masih ada pekerja yang berada di situ.
                ‘Dia orang tak turun makan ke?’ Pantas kakinya keluar dari situ sambil matanya mencari-cari kelibat seseorang. Puas dicari tapi masih tidak ditemui.
                Kakinya mendekati pantri yang tidak jauh dari tempatnya berdiri. ‘Jumpa pun!’ tangannya menepuk perlahan bahu seseorang.
                “Hoi, Adam... Kau pergi mana, hah?” tanya Danial sambil matanya memandang ke tangan lelaki itu. Ada air milo! My favourite!
                “Aku dekat pantrilah. Dekat mana lagi? Kau tak pergi rehat ke?”
“Malaslah lagipun sedap ke makanan dekat kafe tu?”
“Belum cuba belum tahu... Kau dah cuba ke belum?”
“Belum. Aku tak ada kawan nak temankan ke kafe... Tak biasa dengan suasana di sini.” Tangannya sibuk menggosok leher yang sengal.
“Tak apa. Biar aku temankan kau. Lagipun, laparlah kalau aku setakat minum milo ni.” Cawannya yang berisi milo itu ditayangkan.
Danial hanya menganggukkan kepalanya. Terbayang peristiwa ‘pertembungan’ antaranya dengan Adam.
                Danial terlanggar pemuda itu ketika dia hendak berjumpa dengan papanya yang sedang berbincang sesuatu dengan Kak Liza.
                “Maaf encik...” Adam menunduk sambil tangannya mengambil fail-fail yang bertaburan di lantai. Terkocoh-kocoh tangannya mengambil fail tersebut kerana ada mesyuarat dalam beberapa minit sahaja lagi!
                Danial turut melakukan perkara yang sama. Rasa bersalah menebal di hati.
                “I’m sorry,” tuturnya dengan nada bersalah.
                “Tak apa lagipun saya yang salah...”
                “Oh, okey... Nama saya Danial Irfan. Saya baru start bekerja hari ni.”
                “Haah. Nama saya Adam Arsyid.”
                “Umur kita sebaya ke?”
                “Umur awak berapa?” tanya Adam pula. Tertanya-tanya dalam hati. Terlupa sudah dengan meeting yang menanti.
                “23 tahun.” Pendek jawapan Danial. Adam hanya menganggukkan kepalanya.
                “Yup, memang sebaya.”
                “Oh, tapi tadi bukan kau nak pergi meeting ke?” Danial sudah membahasakan aku-kau. Lebih selesa begitu. Lagipun mereka sebaya, jadi apa salahnya?
Adam menepuk kuat dahinya sehingga menghasilkan bunyi.
                “Aku pergi dululah. Maaf sekali lagi.”
                Bahunya yang dipukul kuat, menyentakkan lamunannya yang panjang. “Nak pergi makan tak?”


“SEDAPKAN makanan dekat kafe ni?”
                “Yeah, aku mengaku apa yang kau cakapkan...” Danial makan dengan berselera. Sesekali mulutnya memuji masakan itu. Suapan demi suapan masuk ke dalam mulutnya sehingga dia hampir-hampir tersedak. 

                “Uhuk! Uhuk!”
                Cepat-cepat Adam menghulurkan air kepada Danial. Danial meneguknya dengan rakus. Adam hanya ketawa tapi dalam hati je lah. Takut Danial berkecil hati dengannya.
                Merah padam muka Danial menahan dari tersedak. Terbatuk-batuk mulutnya. Nafasnya rasa bagaikan di hujung tanduk. Tinggal untuk ‘padam’ aje.
                “Itulah aku dah kata, jangan makan gelojoh nanti tersedak. Kan dah kena? Mulut aku ni memang membawa berkat betullah...” Wajah Danial dikerling bersama dengan senyuman nipis.
                Kepalanya digeleng-gelengkan.
                “Mulut kau memang bawak berkat sampai aku pun terkena sumpahan kau tu!” Batuknya kian reda. Tisu dicapai lalu mulutnya dibersihkan.
                Adam menilik jam di tangannya. Wajahnya bertukar cemas. Waktu rehat sudah habis! Leka sangat berbual dengan Danial sampai tidak sedar masa berjalan dengan pantasnya.
                “Kau tak nak naik atas ke? Nanti papa kau marah pulak sebab aku lambat masuk kerja. Aku pergi dululah ye?” pamitnya meninggalkan Danial terkontang-kanting.


INTAN mundar-mandir di hadapan pejabat seseorang. Abahnya menyuruhnya datang ke situ dan berjumpa dengan seseorang. Intan tidak mahu masuk kerana dia sedang menunggu abahnya yang dalam perjalanan ke situ.
                “Intan, kenapa kamu tak masuk lagi? Kan abah dah kata, masuk aje. Bukannya salah pun. Ni pejabat kawan abah...” Dato’ Qayyum memandang anaknya itu.
                “Intan tak nak masuk. Tunggu abah.”
                Mukanya dimasamkan. Merajuk dengan papanya.
                “Hah, kamu tak payah buat muka macam tu. Nanti papa ikat mulut kamu dengan getah. Kamu mahu?” suara Dato’ Qayyum yang serius membuatkan wajah Intan yang masam menjadi terlebih manis. Gerun pula mendengar kata-kata abahnya yang berbaur amaran itu. Huhuhu...
                Intan memandang sahaja perbuatan abahnya yang mengetuk pintu itu. Jika abahnya tidak mengugut, memang dia tidak akan menjejakkan kakinya ke situ.
                Kakinya mengikut sahaja abahnya yang masuk ke dalam. Dia tidak tahu, atas apa tujuan abahnya itu menyuruhnya ke situ. Mahu kata dia ni dah graduate, memang tidaklah.
                “Assalamualaikum, Ayman.”
                Intan hanya memandang sepi wajah tua itu. Kepalanya sedikit tertunduk tanda hormat kepada lelaki tua itu. Dia melabuhkan punggung setelah lelaki tua yang dipanggil abahnya, Ayman, itu menyuruhnya duduk.
                “Aku kenalkan kau dengan satu-satunya anak perempuan aku. Nama dia Intan Adriana,” Dato’ Qayyum menjadi wakil anaknya setelah dilihat anaknya itu hanya mendiamkan diri sahaja sejak tadi.
                ‘Bosan sangat ke, anak aku ni?’ gumamnya dalam hati.
                Mereka berdua berbincang seperti Intan tiada di situ gayanya. Dia merasakan dirinya itu ghaib dan halimunan. Abahnya dan Tan Sri Ayman ligat berbincang mengenai projek mereka di Sabah. Intan yang tidak berminat hendak mencampuri urusan tersebut, hanya mendiamkan diri. Sesekali matanya akan memandang setiap pelosok ruangan itu.
                Dia akui susun atur dan rekaan pejabat itu mengkagumkan. Sentiasa teratur bagaikan tidak terusik sahaja.
                “Abah, uncle Intan nak pergi tandas ye?” Tanpa menunggu jawapan dari mereka berdua dia terus keluar dari pejabat itu.
                Kakinya menapak ke sana dan sini mencari tandas. Kepalanya digaru-garukan. Runsing.
                ‘Aduh, kenapa aku tak tanya uncle tu tandas dekat mana? Aku mana tahu selok-belok pejabat ni...’ getusnya dalam hati. Tanpa dia sedari, seorang wanita yang sedari tadi memerhatinya menapak ke arahnya.
                Wanita itu mencuit belakang Intan membuatkan gadis itu tertoleh ke belakang. “Cari apa ya cik?” tanya wanita itu dengan penuh curiga.
                “Tandas. Saya cari tandas. Tak tahan dah ni...” Wajahnya berkerut menahan sesuatu.
                “Cik belok kanan ni. Situ ada sebuah pantri dan berdekatan dengan pantri ada ladies.” Penerangan wanita itu melegakan hati Intan. Kalau wanita itu tidak menolongnya, memang dia terkucillah alamatnya.
                Setelah mengucapkan terima kasih, Intan terus berlalu.


“ADUI, sakitnya.... Anak gajah mana yang langgar aku ni?” Intan menjerit kesakitan. Hampir-hampir sahaja dia tercium lantai. Sudahlah, ciumannya itu hanya untuk bakal suaminya nanti.
                Tangannya meraba-raba lantai. ‘Aik? Apasal lantai ni ada bentuk?’ fikirnya pelik. Kepalanya yang tidak gatal, digaru-garu.
                Matanya dibuka luas-luas untuk mengenal pasti figura tersebut. ‘Oh My God! Hamba Allah rupanya. Aku ingatkan lantai. Patutlah berbentuk-bentuk. Rupa-rupanya itu badan makhluk yang aku tak nak jumpa!!!’ pekiknya dalam hati. Wajahnya bertukar merah. Malu teramat sangat!
                Intan bangun dari ‘free show’ tersebut. Wajah lelaki yang dihadapannya itu dipandang tajam. Lelaki itu membetulkan sedikit tali lehernya yang senget itu. Intan pula membetulkan tudungnya yang hampir-hampir tercabut.
                “Kenapa kau muncul depan aku hah, mamat gila! Aku memang tak nak sangat jumpa kau ni!! Aku benci, tahu tak?” Intan meluahkan perasaan marahnya pada Danial.
                Danial memandangnya dengan senyuman sinis.
                “Apa kau ingat badan kau tu ringan ke? Kau tahu tak, aku rasa gorilla lagi ringan daripada kau...” Danial berlalu di situ dengan senyuman. Ya, senyuman kemenangan!
                ‘Kurang asam punya mamat senget! Aku benci kau! Kalau aku jumpa kau memang aku rejam kau dengan lembing!!!’ Intan hanya memandang kelibat lelaki yang dianggapnya musuh itu dengan pandangan kebencian.


INTAN melangkah keluar dari keretanya seraya masuk ke dalam banglo tiga tingkat itu dengan wajah mencuka. Menyesal sungguh datang ke pejabat itu. Kalau dia tahu, kejadian tadi akan berlaku memang dia akan pura-pura sakit.
                Kakinya mendaki tangga tanpa menegur uminya yang sedang membaca buku agama itu. Kepalanya pening. Pening dengan kata-kata lelaki tadi. Pening dengan kejadian yang memalukannya sendiri.
                Pintu bilik dihempas kuat melepaskan amarah. Jika Danial berada di hadapannya, mahu aje dia meninju lelaki itu sehingga koma!
                Ketukan di pintu menyentakkannya. Terjegul wajah uminya.
                “Kenapa Intan?” soal uminya seraya duduk di atas katil yang bersaiz king itu.
                “Tak ada apa-apalah, umi.”
                “Kalau tak ada apa-apa, kenapa kamu hempas kuat pintu bilik ni? Umi tahu kamu ada masalah, kan?” soal Datin Qistina lagi.
                Intan hanya mendiamkan diri.
                “Hah, kan umi cakap betul! Apa masalahnya Intan?” Datin Qistina tidak habis-habis menyoal anaknya itu.
Sebagai isteri merangkap ibu kepada anak-anaknya, dia mahu anaknya itu meluahkan masalah kepadanya agar dia tidak memendam perasaan sakit dalam hati. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Intan mengeluh lalu dia melabuhkan punggung bersebelahan uminya itu.
“Yalah. Intan ada terjumpa seorang mamat ni dekat kedai buku. Intan terlanggar dia dan kita orang pun bertengkarlah dekat situ. Faham-faham jelah apa yang terjadi, umi... Kejadian ni dah lama tapi Intan terjumpa dekat pejabat kawan papa.” Intan bercerita serba sedikit.
Moodnya berubah apabila lelaki itu terbayang di fikirannya. “Intan tak nak sebut pasal dia lagi... Intan sembahyang dululah, umi.” Datin Qistina hanya menganggukkan kepalanya. Dia bangun dari duduknya lalu menapak ke pintu.
Wajah anaknya yang keruh dipandang sayang. Kesian dengan anaknya itu.


MATANYA merenung ke langit. Hanya dua tiga bintang sahaja yang kelihatan. Mungkin malu mahu menunjukkan diri kepadanya kala itu. Bintang bagaikan tidak mahu menonjolkan diri padanya.
                “Kalau aku jumpa mamat tu lagi, memang aku bedal dia cukup-cukup! Nampak aje muka dia, memang aku cakar habis-habis muka dia yang tak handsome tu!” Intan meluahkan rasa tidak puas hatinya. Wajahnya yang putih itu berubah kemerahan.
                Rambutnya yang dibiarkan lepas itu sedikit beralun. Baju tidurnya dibetul-betulkan. Badannya disandarkan pada tiang balkoni lalu matanya memandang dinding.
                Terlayar wajah manusia yang paling dibencinya.
                Intan menggelengkan kepalanya seraya posisinya diubah menghadap jalan. Wajah pakcik guard yang sedang berjaga dipandang sekilas sebelum dia masuk ke bilik tidurnya.
                Pintu balkoni ditutup sebelum dia melabuhkan badannya pada katil. Akhirnya dia terlelap.


DANIAL melangkah keluar dari pusat hiburan itu. Rambutnya yang kusut dibetulkan sebelum dia melangkah perlahan ke kereta.
                 Badannya yang terhuyung-hayang menyukarkannya untuk berjalan. Kali ini dia tidak minum minuman haram itu tapi entah mengapa dia rasa pening sekali. Tiba-tiba bahunya yang dipaut seseorang membuatkannya terduduk di atas jalan kerana terkejut.
                Pantas dia menoleh ke arah orang itu. Diperhatikan wajah. Samar-samar kelihatan wajah orang itu.
                “Astaghfirullahalazim, Danial! Kenapa dengan kau ni?” suara orang itu yang menjerit membuatkan Danial terkial-kial. Terkebil-kebil matanya memandang wajah orang.
                “Irham! Ka... kau buat apa kat sini?” Mata Danial membulat sebaik sahaja dia mengenal pasti figura di hadapannya itu.
                “Kebetulan aku jalan-jalan area sini... Lepas tu, aku ternampak kau. Then, aku pun datang terus dekat kau! Yang kau pulak macam mana boleh ada dekat sini?” sengaja dia tanya. Tahu sangat dengan perangai clubbing temannya itu.
                “Entah, aku pun tak tahu! Tahu-tahu aku dekat depan club ni,” jarinya menunjuk ke arah club tersebut. Wajahnya selamba.
                “Tak tahu ke memang kau tahu?” perkataan ‘tak’ sengaja ditekan.
                “Aku balik dululah... Kau tak nak jumpa mak ayah aku? Dah lama kau tak jumpa dia orang kan? ” Danial menukar topik.
                “Boleh jugak tu... Okey, aku follow kau dari belakanglah. Aku ambil kereta aku dululah.” Ujar Irham lantas berlalu dari situ. 

No comments:

Post a Comment

- Assalamualaikum, sila tinggalkan komen anda :)
- Insya-Allah, komen anda akan dilayan ;)

Jangan lupa, beritahu kawan-kawan yang lain ya? Hehehe xD