27 Jan 2013

I Love You, Abang! 2


     Intan melangkah keluar dari dewan kuliah setelah  kuliahnya selesai. Dalam perjalanan menuju ke kantin, dia ternampak kelibat Fariel a.k.a. Fariel Badlishah. Fariel yang mempunyai pakej yang lengkap dan merupakan pelajar yang terkenal di kalangan pelajar-pelajar UM. Memang tergoda habis mereka dengan pandangannya itu.
                Fariel yang menyedari kehadiran Intan, segera  melangkah penuh bergaya mendekati Intan. Sejak dari tadi, dia menunggu Intan di situ. Entah kenapa, hatinya bagaikan terpaut dengan seraut wajah itu.
                ‘Aduh, apasal mamat ni boleh nampak aku?’ getusnya dalam hati seraya menoleh ke belakang.
                Fariel segera berlari mendapatkan Intan. Sepantas kilat, tubuhnya berdiri berhadapan dengan gadis idamannya itu. Sedaya upaya, dia menyekat laluan gadis itu. Ini peluang keemasannya dan dia tidak akan sesekali melepaskan gadis itu!
                “Hai Intan! Awak nak ke mana? Saya tengok awak jalan seorang. Mana Mila dan Maria? Tak nampak pun batang hidung dia orang?” Fariel bertanya sambil tersenyum manis. Matanya masih tidak lepas memandang seraut wajah comel itu.
                “Dekat kafè…” Intan menundukkan wajahnya dari ditatap Fariel. Rimas rasanya apabila lelaki itu memandangnya.
                “Awak nak ke mana?” Fariel mengulangi pertanyaannya.
                “Adalah… Awak saya pergi dululah ye?” Fariel hanya menganggukkan kepalanya. Mukanya sedikit murung.
                Intan melangkah lesu ke kafè kolej seraya melabuhkan punggung bersebelahan dengan Maria. Syamila yang sedari tadi sedang berbalas mesej memandang ke arahnya pelik. Maria pula sibuk dengan makanannya tidak mengendahkan Intan yang berwajah muram.
                “Kau ni kenapa, Intan? Ada masalah negara ke yang perlu kau selesaikan?”
                “Tak adalah… Cuma aku rasa sakit-sakit pada badan ni,” balas Intan seraya memicit perlahan lehernya yang sedikit lenguh.
                “Kau buat apa sampai sakit-sakit badan? Jangan cakap kau layan cerita Korea semalam…” Maria menyampuk setelah makanannya sudah dihabiskan.
                Intan sudah menyengih. Bingo! Tepat tekaan Maria!
                Segera tangan Syamila mencubit tangan Intan. Maria pula memicit kuat bahu Intan agar kawannya itu berasa sakit. Biar menyesal! Sesekali kawannya itu harus diberi pengajaran.
                Intan mula mengerang kesakitan.
                Perbuatan mereka terhenti. Kasihan pula dengan Intan tapi mereka memang geram sekali dengan Intan itu. Tidak sampai hati pula ingin menambah ‘beban’ pada Intan. Rasa bersalah menerjah di hati mereka melihat muka Intan yang sedang berkerut.
                “Tahu pun sakit… Dah, jom aku bawa kau ke satu tempat. Bagi aku kunci kereta kau tu.” Ujar Syamila seraya menghulurkan tangan meminta kunci kereta Intan.
  

SEBUAH kereta menyusup masuk memasuki kawasan spa yang terkenal di Malaysia. Kereta itu memakir di tempat letak kereta. Tiga orang gadis keluar dari perut kereta seraya melangkah masuk memasuki ruang spa tersebut.
                Mereka melangkah ayu ke arah sebuah kaunter yang terletak berdekatan dengan pintu masuk spa.
                “Selamat datang ke Spa Keesya. Kami menyediakan pelbagai rawatan disini mengikut kesesuaian dan pilihan anda.” Ujar salah seorang pekerja di situ bersama dengan senyuman mesra. Tangannya menghulurkan sehelai pamphlet kepada mereka.
                Syamila memilih rawatan muka, urutan kaki dan badan serta sauna. Selepas itu, kakinya melangkah mengikuti langkah seorang pekerja menuju ke facials room diikiuti Intan dan Maria.  
                Mereka tiba di facials room yang memang eksklusif untuk pelanggan yang mahukan privasi. Syamila sengaja memilih  pakej istimewa supaya mereka mendapat sedikit privasi untuk berbual kosong…
                Intan memandang ke arah tiga orang pekerja yang sedang menunggu di situ sambil tersenyum ramah kepada mereka. Sejuk matanya memandang senyuman itu. Memang patut pun spa itu menjadi pilihan Syamila kerana layanan di situ memang memuaskan hati pelanggannya.
                ‘Pandai betul Mila pilih spa ini… Aku berasa selesa berada di sini. Entah kenapa. Memang memuaskan hati aku. Balik nanti aku hendak menyuruh umi supaya datang ke sini jika kami ada masa lapang…’ Intan sudah berkira-kira dalam hati ingin mengajak uminya itu.
                ‘Dan aku pasti umi akan turut menyukai sikap pekerjanya yang murah dengan senyuman serta layanan yang bagus… Apa pun yang terjadi, aku akan beritahu umi soal ini,’ Intan berdialog di dalam hati sambil mulutnya mengulum senyuman.


INTAN tersenyum lebar sebaik sahaja mereka keluar dari spa tersebut. Sedikit sebanyak, rasa lenguh di lehernya kian berkurang. ‘Alhamdulillah,’ syukur Intan dalam hati. Dia sudah bercanang-canang dalam hati, apabila dia sampai sahaja di rumah, dia akan memberitahu tentang spa ini.  
Bahunya yang dicuit dari belakang, menyedarkannya dari lamunan panjang. Sepantas kilat, dia menoleh ke belakang.
“Hah? Kenapa?”
                “Aku dengan Mila pergi ladies kejap eh?”
                Tanpa menunggu jawapan dari Intan, dia terus menapak ke arah tandas yang kebetulan tidak jauh dari situ. Intan hanya menggelengkan kepalanya. Syamila pula sudah mengekori Maria sedari tadi.
                Intan melangkah perlahan ke arah keretanya yang dipakirkan. Dia membuka pintu kereta seraya memboloskan diri ke dalam perut kereta. Keretanya dihidupkan sambil matanya meliar memandang ke arah jalan besar dihadapannya itu. Lenggang dan sunyi.
                ‘Hish... Mana dia orang ni? Pergi tandas ke bina tandas dekat sana tu?’ gumamnya perlahan seraya mengeluarkan Galaxy Notenya dari tas tangan. Pintu kereta dikunci sebagai langkah berwaspada.
                Nombor Maria didail sebelum panggilannya bersambut.
                “Kau dekat mana tu?”
                “Tandaslah... Dekat mana lagi?”
                “Hoi lamanya... Kau bina tandas ke apa?” tanya Intan kasar bersama dengan keluhan kecil.
                “Yalah.. Aku dah keluar dan dalam perjalanan menuju ke kereta kau...”              
                “Cepat sikit...” pantas dia mematikan panggilan seraya stereng kereta di ketuk perlahan.
                Matanya sempat memandang sepasang kekasih sedang berjalan menuju ke pintu spa. ‘Ya Allah, handsomenya mamat tu... Tapi sayang, dia dah ada girlfriend,’ desisnya dalam hati sambil matanya tidak lekang dari memandang lelaki itu.
Tajam matanya menikam ke arah mereka sehingga tidak sedar Syamila dan Maria sudah tercegat di luar kereta. Maria mengetuk kuat pintu kereta itu dari luar. Wajahnya sudah berubah kemerahan menahan panas. Intan membuka perlahan kunci.
Syamila dan Maria melangkah masuk ke dalam kereta dengan wajah yang kelat. Pintu kereta dihempas kuat melepaskan amarah di dada. Intan memandang mereka berdua dengan senyuman kambing.

               
FARIEL melangkah masuk ke dalam biliknya dengan wajah yang sugul. Tangannya membuka perlahan pintu almari lalu mengeluarkan sehelai baju bersama seluar.
Ketukan di pintu menghentikan semua perbuatannya. Pantas tangannya memulas tombol pintu dan terjegul wajah ibu kesayangannya, Datin Syaza. Pantas tangannya meraih tangan Datin Syaza lalu dicium hormat.
                Walaupun wajah itu sentiasa tersenyum tetapi Fariel tahu ibunya itu menyimpan perasaan sedih. Papanya sudah berkahwin lain tetapi mama dan papanya tidak bercerai. Mungkin tidak ingin turun naik mahkamah.
 Datin Syaza masuk ke dalam bilik anak lelaki bujangnya. Bilik itu kelihatan rapi dan cantik. Anaknya itu sangat suka akan kebersihan.
 Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di sofa yang disediakan disitu. Fariel yang sedari tadi hanya memandang pelik tingkah laku mamanya. Datin Syaza mengarahkan Fariel agar duduk dan Fariel hanya mengikuti arahan mamanya sahaja. Dia menunggu kata-kata yang akan dilontarkan kepadanya.
                “Mama, nak tanya kamu soalan. Kamu masih kejar Intan ke?” Datin Syaza cuba berlembut dengan anaknya itu. Tangan anaknya diraih seraya digenggam erat.
                Fariel hanya menganggukkan kepalanya sebagai jawapan.
“Mama tahu kamu cintakan dia tapi tak baik kamu buat macam tu dekat anak dara orang. Cara kamu tu, mungkin akan menakut-nakutkan Intan. If  Intan doesn’t love you, you can’t force her to love you. Hati perempuan ni tak boleh dipaksa, Riel,” ujar Datin Syaza seraya memebelai mesra kepala anaknya.
“Mama bukan tak kenal Intan. Bahkan mama pernah berbual dengannya. Memang dia seorang yang cantik dan baik dan mama akui semua itu. Tapi, adakah Intan juga merasai perkara yang sama seperti yang kamu rasakan waktu ini?” tanyanya pula bersama dengan senyuman nipis.
“Mama, memang Riel akui Intan itu tidak cinta bahkan sayang jauh sekali. Tapi cinta boleh dipupuk jika kami saling memahami antara satu sama lain,” Fariel sudah memegang kepalanya. Pening.
‘Aku tak mahu kehilangan Intan. Aku sayangkan dia dan aku sanggup lakukan apa sahaja asalkan kami bersatu. Tak sanggup rasanya hati ini jika aku tidak dapat bersama dengannya,’ tangisnya dalam hati.
Datin Syaza terdiam mendengar kata-kata anaknya.
                ‘Kesian anak aku ni… Ayah ada tapi sibuk dengan isteri yang keduanya. Gadis idamannya akan dikahwinkan dengan orang lain. Menagih kasih yang tidak pasti,’ getusnya sedih di dalam hati lalu termenung memikirkan masa depan anaknya yang samar-samar.
               “Tak apalah kalau macam tu. Tapi mama ingatkan pada kamu Riel, jangan sesekali kamu melukai hati perempuaan yang bernama Intan Adriana. Andai kata Intan sudah mempunyai pilihan hati sendiri, adakah kamu akan terus mengejarnya, Fariel Badlishah?” soal Datin Syaza sambil matanya merenung sayu anak bujangnya itu.
                “Insya-Allah, tidak mama. Andai kami tiada jodoh, perlahan-lahan Fariel akan cuba melupakan Intan...” balas Fariel bersama dengan senyuman hambar.
                “Jika dia disuruh berkahwin atas pilihan keluarga, adakah kamu akan terusan mengejarnya?” Datin Syaza cuba menduga anaknya itu.
                Wajah Fariel berubah mendengar soalan cepu emas mamanya. Senyuman sinis menghiasi bibirnya.
                “Masih adakah istilah kahwin paksa, mama? Fariel kenal persis sifat Intan, mama... Dia tidak mungkin berkahwin tanpa kerelaan diri sendiri,” Fariel membalas pandangan mamanya.
                “Mama cuma tanya je... Tapi kamu tak boleh tolak takdir Allah, jika Intan berkahwin dengan pilihan keluarganya itu. Ingat Fariel, jodoh dan maut ada di tangan Tuhan.”
                Datin Syaza menapak ke pintu. Sebelum dia melangkah keluar, matanya sempat memandang wajah anaknya yang merah padam itu. 

No comments:

Post a Comment

- Assalamualaikum, sila tinggalkan komen anda :)
- Insya-Allah, komen anda akan dilayan ;)

Jangan lupa, beritahu kawan-kawan yang lain ya? Hehehe xD