Danial menuruni tangga sambil matanya memandang ruang tamu
yang sepi. Selalunya papa dan mamanya akan meluangkan masa menonton televisyen
di situ.
‘Mana pergi semua orang?’ getusnya dalam hati.
Matanya masih cuba mencari kelibat papa dan mama tapi masih tidak kelihatan.
Danial melepaskan keluhan. Perlahan-lahan dia menapak keluar menuju ke taman
mini kesayangan mamanya. Dipandang garaj lama. Kereta milik papanya tiada.
Danial berdiri di atas jambatan. Kolam ikan yang
berada di bawahnya dipandang dalam. Pelik dengan ‘kehilangan’ ibu bapanya itu.
Danial melangkah masuk ke dalam ruang tamu vila. Dia
memandang ke arah dapur. Danial pantas bangun dari sofa seraya menuju ke dapur.
Kelihatan bibik Surti sedang membuat sarapan. Danial menggaru kepalanya.
‘Dia ni tengah masak ke apa?’ gumam Danial dalam
hati. Kepalanya digeleng-gelengkan. Pelik dengan keadaan pembantu rumahnya yang
berasal dari Indonesia itu. Mana tidaknya, wajahnya yang comot seperti
berperang itu menimbulkan perasaan pelik di hati Danial. Tak kanlah guna dapur
kayu padahal di rumahnya menggunakan dapur elektrik.
Danial melabuhkan punggung di atas kerusi di dapur.
“Mana mama bik?” soal Danial. Bibik Surti yang leka
memotong sayur itu terkejut. Nasib baik pisau yang berada di tangannya tidak ‘melayang’
ke arah Danial. Kalau tidak free-free je dia masuk penjara.
“Enggak tahu
Danial...” jawab bibik Surti pendek. Sebaik sahaja mendengar jawapan bibik
Surti, Danial terus berlalu dari situ.
‘Ada pembantu rumah tapi tak menolong langsung. Takkanlah
tak tahu mama dengan papa pergi mana?’ detiknya dalam hati.
Danial duduk di sofa ruang tamu. Misteri sungguh dengan
kehilangan ibu bapanya. Takkanlah kena culik dek hantu? Vila yang didudukinya
itu berhantukah? Hish, tak mungkin... Papanya membeli tanah di situ dan mendirikan
sebuah vila yang diberi nama Vila Damai. Danial menukar siaran silih berganti.
Rasa bosan bermaharajalela di hati. Ikutkan hati memang dia ingin keluar untuk
mendapatkan hiburan. Tapi saat ini dia berasa sangat letih kerana hampir setiap
hari dia ke tapak projek. Ingin juga dia berehat di rumahnya.
Bunyi hon kereta menyentakkannya dari menonton siaran
televisyen yang membosankan. Siapa pulak yang bertandang ke rumahnya waktu itu?
Mungkin papa dan mamanya sudah pulang? Danial bergegas keluar menuju ke halaman
vila. Dia melihat seorang wanita bertudung yang mungkin sebaya dengan mamanya
sedang membolos keluar dari perut kereta.
Wanita yang masih anggun itu memberi salam.
“Waalaikumussalam. Puan cari siapa ya?” Danial
mendekati pintu pagar vila yang besar itu. Perasaan syak wasangka bersarang di
hati. Takkan hendak memberi wanita itu masuk sedangkan dia tidak mengenali
wanita itu?
“Ini rumah Puan Sri Airina? Saya Puan Qistina.” Balas
Datin Qistina dengan senyuman. Sengaja dia tidak menyebut gelaran datin yang
disandangnya. Buat apa nak riak kan?
“Nama saya Danial... Saya anak Puan Sri Airina. Mama
saya tak ada... Dia keluar... Silakan masuk, puan.” Ujarnya sambil tangannya
menekan remote control pagar yang
berada di tangannya.
Datin Qistina mengucapkan terima kasih. Danial membuntuti
langkah Datin Qistina dari belakang. Wajah Datin Qistina yang hampir mirip
dengan gadis itu diperhatikan. Tak kanlah wanita ini mak kepada gadis itu. Hish
tak mungkin. Pada pendapat Danial, Datin Qistina sangat berbeza bagaikan langit
dengan bumi jika dibandingkan dengan gadis itu. Datin Qistina sangat baik dan
lemah lembut manakala Intan baginya sangatlah ganas dan kurang ajar! Hish, tak
patut!
Habis kau ingat kau tu bagus sangatlah, Danial? Papa
kau taklah macam kau yang suka pergi kelab malam! Solat papa kau pun tak ada
tunggang-langgang macam kau... Paku dulang paku serpih, mengata orang kau yang
lebih!
“Bik!”
Bibik Surti segera mendapatkan Danial yang sedang
duduk itu.
“Kenapa Danial?”
“Buatkan air oren...”
“Baiklah.” Bibik Surti berlalu ke dapur.
Datin Qistina hanya memandang sahaja.
“Puan boleh tunggu mama saya balik?”
“Tak payahlah panggil puan... Panggil aunty Qisti aje. Mama kamu pergi mana?”
Soal Datin Qistina.
“Tak tahulah... Pagi tadi ada aje. Mungkin mama
dengan papa ada hal di luar.” Balas Danial.
Bibik Surti menatang dulang lalu diletakkan di atas
meja yang berada di ruang tamu itu.
“Umur kamu berapa, Danial?”
“23 tahun.”
Bunyi enjin kereta yang memasuki perkarangan vila
mengganggu perbualan mereka. Baru nak masuk permulaan.. Kacau betullah...
“Assalamualaikum... Eh, Qisti... Bila awak sampai?”
Puan Sri Airina segera menerpa ke arah rakan karibnya itu. Mereka berlaga pipi.
“Baru aje... Awak pergi mana? Kenapa ada banyak beg
pulak ni?” Datin Qistina menjadi hairan. Takkan lah Puan Sri Airina keluar
rumah lepas tu kembali semula ke vila tersebut?
Danial turut memandang pelik.
“Haah mama. Kenapa tiba-tiba ada banyak beg? Mama
gaduh dengan papa ya?” Danial menyampuk. Perasaan ingin tahu membuak-buak di
dalam hatinya.
Puan Sri Airina menggeleng. Masakan dia bergaduh
dengan suaminya. Jarang sekali mereka bergaduh sepanjang perkahwinan mereka
selama 30 tahun lamanya. Kalau bergaduh pun, mereka akan berbaik kembali. Tak
sampai setengah jam, mereka dah boleh bermesra. Tak pernahlah mereka bermasam
muka lama sangat.
“Habis tu?”
Mamanya memuncungkan mulutnya ke arah pintu. Danial
turut memandang isyarat mamanya. Terlopong mulutnya memandang adik perempuan
kesayangannya berdiri tegak bagaikan tugu negara. Yang paling membuatkannya
hampir ketawa adalah wajah adiknya yang bagaikan ingin berperang gamaknya.
“Hai along!” Aisyah melambaikan tangannya. Senyuman
terpamer di wajahnya yang putih itu.
Danial menggelengkan kepalanya. Adiknya itu memang
tidak pernah berubah langsung!
“Bila sampai sini, dik?”
“Tadi.... Orang ambil flight malam tadi... Orang call
mama suruh mama ambil... Tak maulah Pak Mail ambil.” Ujar Aisyah mendekati
Datin Qistina. Tangan wanita tua itu disalam. Dia melabuhkan punggung
bersebelahan mamanya yang leka berborak dengan Datin Qistina.
“Mama aje? Papa tak ikut sekali?” soal Danial lagi.
“Tak... Mama aje yang jemput orang dekat airport tadi.”
Datin Qistina memandang gelagat dua beradik itu.
Sungguh akrab sekali!
“Mama, papa pergi mana?”
“Main golf...”
Aisyah menutup majalah yang berada di tangan.
Beg-begnya sudah diangkat ke atas oleh Pak Mail. Dia melangkah memasuki dapur.
Kelihatan bibik Surti sedang memasak sambil menyanyi. Entah lagu apa yang
dinyanyikan pun Aisyah tidak tahu. Aisyah berjalan dengan kaki yang
dijengketkan. Perlahan-lahan dia menghampiri wanita yang berumur 35 tahun itu.
Jari telunjuknya sudah bersedia untuk mencucuk pinggang wanita itu. Senyuman
nakal terukir di bibir munggilnya.
Satu, dua, tiga!
Kedengaran suara marah bibiknya itu. Aisyah ketawa
mengekek mengalahkan pontianak. Kalau pontianak senior dengar pun, sudah tentu letakkan jawatan sebagai penghulu
segala pontianak.
Bibik Surti menoleh ke belakang. Perasaan tidak puas
hati bersarang di hati. Ada ke patut dia digelakkan? Sepatutnya minta maaflah
kan? Buat seketika, bibik Surti bagaikan dirasuk hantu. Mana tidaknya, dia
menjerit memandang wajah gadis itu lalu dipeluk. Seperti kena histeria pun ada.
“Aisyah!” pantas dia memeluk tubuh Aisyah yang kecil
itu. Pelukannya yang kuat menyukarkan Aisyah untuk bernafas. Terjelir-jelir
lidah Aisyah meminta oksigen. Sudahlah badan bibiknya itu boleh dikatakan besar
orangnya. Tangannya terkapai-kapai persisi orang yang lemas.
“Bik...”
tersekat-sekat Aisyah bercakap.
Bagaikan orang yang baru tersedar dari dirasuk,
begitulah juga yang dirasakan oleh bibik Surti. Sengihan terlayar di wajahnya
yang tembam itu.
“Kapan kamu
pulang ke sini?”
“Malam tadi flight
Aisyah. Bibik masak apa tu?” Aisyah mengubah topik perbualan.
“Oh! Ayam masak merah. Kenapa kamu enggak bagitahu bibik kalau kamu mahu
pulang hari ini? Kalau bilang sama
bibik dari awal, bibik bisa masakkan
makanan kegemaran kamu...” ujar bibik Surti.
Aisyah tersenyum. “Tak apa... Bila Aisyah nak, nanti
Aisyah mintalah. Buat masa sekarang ni, Aisyah memang taknak apa-apa lagi,”
balas Aisyah lembut.
Bibik Surti mengiyakan kata-kata anak majikannya itu.
“Di Australia kamu ambil bidang apa?”
“Perubatan.”
“Kamu emang mau
jadi doktor ya?”
Aisyah mengangguk. Dia memotong sayur lalu dimasukkan
ke dalam mangkuk kecil.
“Kapan kamu
pulang ke sana lagi?”
“Tak tahu lagilah bik... Mungkin dalam dua minggu
Aisyah dekat Malaysia.” Balas Aisyah.
Mangkuk kecil yang mengandungi sayur tadi dibawa ke
sinki untuk direndam.
“Papa kamu tahu kamu pulang?” soal bibik Surti lagi.
Aisyah tidak kisah dengan semua itu kerana dia lebih suka orang bertanya
padanya.
“Tak... Memang Aisyah tak bagitahu yang Aisyah
balik... Sebab Aisyah nak bagi kejutan pada papa.” Ujar Aisyah bersama dengan
senyuman.
Dia bersandar pada peti sejuk.
“Bibik... Sepanjang Aisyah tak ada dekat sini, ada
apa-apa yang terjadi ke diluar pengetahuan Aisyah?” Giliran Aisyah pula
bertanya.
Bibik Surti terdiam. Terlayar kembali peristiwa
Danial dimarahi Tan Sri Ayman akibat keceloparan mulut Danial. Perlahan-lahan
dia menganggukkan kepala. Aisyah memandang wajah kakak angkatnya itu.
“Ada sekali Danial kena tampar sama Tan Sri.”
Aisyah terkedu. Papanya tidak pernah berkeras
terhadap mereka berdua selama ini.
“Macam mana boleh jadi pulak?”
“Danial bela Nadia... Tapi Puan Sri kan enggak suka Nadia? Lepas tu, Danial
marahlah dan tanya kenapa Puan Sri tak suka Nadia... Mama Aisyah bilang dia enggak sukakan Nadia kerna Nadia
tu suka manfaatkan kekayaan Danial.” cerita bibik Surti.
“Habis tu?”
“Danial terus keluar lepas kena marah dengan Tan Sri
sebab Tan Sri terdengarlah semua yang Danial ngomongkan... Danial terus minta maaf tapi bibik enggak tau sama ada ucapan maafnya
ikhlas atau enggak? Pagi tu, Danial
pulang pukul 2 pagi! Kebetulan masa itu, bibik keluar dari kamar tidur... Tapi
bibik enggak tahu apa yang papa kamu
katakan. Bibik cuma lihat waktu papa kamu tampar Danial.” Bibik Surti
menghabiskan ceritanya. Aisyah terkedu untuk kesekalian kalinya.
INTAN bergolek-golek di atas katil. Perasaan sunyi melanda di
hati. Menyesal pulak menolak ajakan baik uminya tadi.
“Kamu nak ikut umi pergi rumah kawan umi?” soal Datin
Qistina sambil membetulkan tudungnya yang kelihatan senget di hadapan cermin di
meja solek milik anaknya.
Dia datang ke bilik anaknya untuk mengajak anaknya ke
rumah kawannya.
“Tak mahulah, umi... Malaslah.” Intan menjawab dengan
malas. Dia menggeliat di atas katil. Meregangkan segala urat sarafnya yang
tersimpul.
“Anak dara tak baik bergolek-golek macam ni dekat
atas katil. Kalau ada orang lelaki masuk meminang, memang umi ceritakan
keburukan kamu ni... Biar dia orang taknak kahwin dengan kamu... Membujanglah
kamu sampai ke tua...” ujar Datin Qistina selamba. Intan menghentikan
perbuatannya mendadak.
Dia duduk di birai katil memandang anaknya.
“Kalau Intan bujang sampai ke tua, baguslah namanya.
Sekurang-kurangnya Intan tak terasa terkongkong dengan tanggungjawab yang
digalas sebagai seorang isteri. Jika Intan tidak berkahwin nanti, alamatnya umi
tak adalah cucu.” Balas Intan pula bersama dengan ketawa kecil.
Datin Qistina menayangkan wajah cemberut. Intan
ketawa suka.
“Hish, kamu ni... Umi nak bergurau aje tapi kamu
jadikan soal ini sebagai kata-kata yang serius. Kamu memang taknak bagi umi
cuculah ni?” Datin Qistina bercekak pinggang. Matanya membulat memandang
satu-satunya anak yang dia punya.
Intan menukar posisinya kepada duduk.
“Bukan macam tu maksud Intan... Intan cuma tak mahu
kahwin masa umur Intan masih muda. Contohnya macam sekarang ni... Umur Intan
kini baru berusia 20 tahun. Takkanlah masa umur Intan yang masih mentah ni,
Intan dah ada anak? Intan nak realisasikan dulu impian Intan.” Penjelasan
anaknya yang panjang lebar, membuatkan hati tua milik Datin Qistina berasa
tenang kembali.
“Baguslah kamu kata macam tu... Hampir-hampir aje umi
nak dapat heart attack.” Intan
tersengih.
“Kalau Intan dah kahwin, umi nak berapa orang cucu?”
soal Intan tiba-tiba.
“Amboi... Gatalnya anak umi ni!” Mata Datin Qistina
membulat. Hidung anaknya dipicit.
‘Anak aku ni dah teringin ke nak berkahwin?’
“Intan cuma tanya aje...” Intan memuncungkan mulutnya
tanda merajuk. Rambutnya yang panjang itu disanggulkan.
“Umi tak kisah... Kalau kamu ada 10 orang anak pun,
umi takkan marah... Cukuplah kamu beri umi cucu... Kalau ramai, umi ada peneman
bila umi sunyi nanti...” balas Datin Qistina sambil membelai rambut anaknya
itu.
Intan terharu mendengar jawapan uminya. Segera dipeluk
Datin Qistina.
“Terima kasih umi... Tapi Intan memang tak bersedia
nak kahwin buat masa ini...” Intan berdrama. Dia ni memang ratu drama betullah.
“Siapa yang paksa kamu kahwin buat masa ni?” Datin
Qistina menggelengkan kepalanya. Pelik betul anaknya itu.
Intan tersipu malu jadinya.
“Tak... Intan cuma cakap aje.”
Telefonnya yang berbunyi segera diangkat. Panggilan
dari Maria menghairankannya. Setahunya, waktu macam ini sahabatnya itu sedang
enak-enakkan tidur.
Salam diberi.
“Kenapa kau nak jumpa aku pulak ni?”
“Adalah.. Asal? Kau busy ke?” tanya Maria pula.
“Taklah... Cuma aku tertanya-tanya kenapa kau nak
jumpa aku. Selalunya waktu-waktu macam ni, kau mesti sedap-sedap tidur... Kau
kan Sleeping Beauty? Tu yang aku pelik?” balas Intan tanpa menghiraukan
perasaan sahabatnya yang mungkin berkecil hati nanti.
“Haah kan? Aku pun pelik dengan diri sendiri sekarang
ni... Aku pun tak tahu kenapa aku tak boleh lelapkan mata aku ni. Selalunya
lepas solat aje, aku terus sambung tidur.” Maria menggaru kepalanya yang tidak
gatal.
“Jadi kau nak jumpa aku dekat mana?” soal Intan
memberi kata putus.
“Kita jumpa kat Pavilion. Aku nak call Mila pulak... Jangan lambat tau!”
sempat lagi Maria memberi peringatan. Intan segera bangkit dari tidurnya seraya
mencapai tuala.
Lima belas minit kemudian, Intan sudah duduk di
hadapan meja solek. Hari ini dia mengenakan gaun santai berwarna ungu –lengan
panjang dan paras lutut. Seluar jeans berwarna hitam dipakai. Dia mengeluarkan
sehelai pashmina berwarna ungu lembut dari almari. Diletakkan pashmina tadi di
atas katil. Wajahnya disapu dengan bedak kompak dan blusher dioleskan pada pipi. Gincu berwarna merah jambu dicalitkan
di bibirnya yang comel itu. Siap!
Intan mengambil pashmina berwarna ungu gelap itu lalu
disarungkan di atas kepalanya. Dia memanaskan enjin keretanya terlebih dahulu.
Itu memang rutinnya jika dia menggunakan kereta kesayangannya itu. Takut rosak
keretanya nanti...
Intan memandu keretanya dengan tenang. Akhirnya dia
sampai jua di Pavilion. Intan memakirkan keretanya terlebih dahulu sebelum melangkah
memasuki pusat membeli-belah itu.
Dia masuk ke dalam kafe yang selalu dia melepak bersama Syamila dan Maria.
Intan memesan chocolate milkshake
kegemarannya.
Intan melepaskan keluhan kecil. Jam tangan yang dipakainya dipandang.
Sudah setengah jam dia tercongok di situ bagaikan orang kurang siuman. Mana
tidaknya, sekejap tangannya menggaru kepala yang dibaluti pashmina. Lepas tu,
jarinya diketuk pada meja tanda dia sedang bosan.
Dia mendengus kecil. Telefonnya dikeluarkan dari beg tangan lalu nombor
Maria didail.
‘Maria ni memang nak kena bebel dengan aku ke?’
Beberapa saat kemudian, panggilannya diangkat. Tanpa membuang masa, Intan
pantas menghamburkan rasa geramnya yang terbuku di hati. “Kau dekat mana, hah?”
soal Intan tidak sabar. Dia memandang gelasnya yang sudah habis diminum.
“Aku dekat dalam keretalah...”
“Yalah... Di mana tempatnya? Dah sampai ke belum? Kenapa kau orang
lambat?” bertubi-tubi dia menyoal bagaikan meriam.
“Dah sampai pun... Aku nak masuk dah. Kau tunggu aku dekat mana?”
“Tempat biasa kita selalu lepak.” Balas Intan sebelum talian dimatikan.
Kerusi yang berada bersebelahannya ditarik. Intan terkejut. Tak nampak pun
bayang kawan-kawannya... Magik sungguh kawan-kawannya itu.
Intan memandang Syamila dan Maria silih berganti. “Kenapa lambat? Kau tahu
tak aku dah lama tunggu? Kau suruh aku jangan datang lambat, tapi tengok-tengok
kau yang datang lambat. Jangan lambat tau!” Intan mengajuk kata Maria.
Ikutkan hati mahu diterkam kawan-kawannya itu.
“Kau tanyalah si Mila ni... Dia punyalah lambat
bersiap.” Maria menjawab.
Syamila hanya tersenyum malu.
“Semalam aku lambat tidur... Lepas Maria telefon
tadi, aku sambung tidur sekejap. Lepas tu, aku terjaga sebab Maria hon kereta
dia kuat-kuat... Aku terus teringat dan bersiap-siaplah.” Balas Syamila
ringkas. Mulut Maria ternganga mendengarnya. Intan pula menggelengkan
kepalanya.
“Kau pergi mana, sampai lambat tidur?”
Syamila terdiam.
‘Nak bagitahu ke tak?’ fikir Syamila.
Intan dan Maria membalas pandangan. Pelik.
“Aku bergayut semalam...”
“Dengan?” soal Intan tidak sabar.
“Faris...” Syamila menundukkan mukanya memandang
lantai.
“Apa?” Intan dan Maria berwajah terkejut. Tak percaya
pun ada. Setahu mereka Faris dan Syamila ibarat anjing dan kucing. Tak boleh
berjumpa langsung! Faris ibarat anjing ganas, manakala Syamila ibarat kucing
garang!
“Apa yang dia cakap? Dia nak apa telefon kau?” soal Maria pula.
“Dia cakap dia sukakan aku... Terus minta couple.” Balas Syamila.
“Hah?” Sekali lagi mereka menjerit kerana terkejut
pada kedua-dua belah telinga Syamila. Syamila menekup telinganya dengan
kedua-dua belah tangan. Tak sanggup rasanya telinga ini menjadi mangsa jeritan
rakan-rakanya itu.
“Hish kau orang ni! Tak payahlah nak jerit-jerit
dekat telinga aku ni! Sakit tahu tak gegendang telingaku ini.” Marah Syamila.
Tangannya sudah tidak ditekup pada telinga.
Intan dan Maria tersenyum.
“Sorrylah.
Bukannya apa, kau dengan Faris kan tak pernah sebulu?” Intan berkata perlahan.
Maria mengangguk, mengiakan kata-kata Intan.
“Haah. Kita orang pun terkejutlah... Cuba kau
bayangkan, kalau Intan gaduh dengan seseorang...”
“Contoh?” soal Syamila.
“Contohnya, Intan terlanggar dekat kedai buku. Lepas
tu gaduh... Mulalah Perang Dunia Keempat melanda... Dia orang ni memang tak
pernah sebulu langsung... Jumpa aje gaduh. Sama macam keadaan kau dengan Faris
sekarang ini.” Ujar Maria tanpa menyedari bahawa apa yang dia katakan itu
semuanya pernah terjadi.
Intan meneguk liurnya. Harap-harap dia tidak bercinta
dengan lelaki gila itu! Simpang malaikat!
No comments:
Post a Comment
- Assalamualaikum, sila tinggalkan komen anda :)
- Insya-Allah, komen anda akan dilayan ;)
Jangan lupa, beritahu kawan-kawan yang lain ya? Hehehe xD